Agamawan-agamawan Islam di Malaysia adalah orang yang pada kebiasaannnya amatlah keliru. Pemikiran mereka lazimnya amat singkat jadi mereka tidak dapat membezakan di antara Islam dan ideologi taghoot rasisme Melayu. Kadang-kadang dalam satu ucapan pun, mereka akan melantun di antara Islam dan rasisme Melayu. Inilah yang akan terjadi apabila kita menyekutukan Islam dengan ajaran anti-Islam.
Mufti Perlis, Dr Mohamed Asri Zainal Abidin (Maza) dikenali sebagai orang yang amat rasional dalam pemikirannya. Saya pernah membandingkannya dengan Muhammad Abduh, reformis salafee dari kurun ke 19. Tapi sekarang, Maza semakin menampakkan kesimpitan dalam memberi hujah. Dia sudah mencampurkan ajaran rasisme Melayu dengan ajaran Islam Wahabinya.
Dalam ucapan ini, Maza melahirkan perasaan negatif kepada Hindraf. Kritikan yang membina itu perkara baik tetapi logik Maza dalam kes ini amatlah gagal. Dia mengatakan bahawa kehidupan di India amatlah daif. Dia pernah nampak orang tidur di kaki lima jalan. Orang India di Malaysia yang dibawa masuk Inggeris adalah daripada kasta terbawah iaitu ‘kasta paria’, katanya lagi. Maka mereka harus bersyukur kerana hidup mereka di Malaysia adalah ‘1000 kali lebih baik’ daripada kehidupan mereka di India. Agama Islam bukan begitu, katanya lagi.
Kesempitan logik Maza di sini amatlah sedih.
Pertama, bagaimana Maza melihat India? Tidakkah Maza tau yang orang-orang terkaya di dunia juga termasuk orang India. Mereka bukan selalu daripada kasta teratas. Bagaimana Maza tau yang orang India Malaysia tidak boleh maju jika mereka masih di India? Orang India di Malaysia telah masuk pelbagai bidang dan telah banyak maju. Mungkin kalau bebas daripada ideologi taghoot Ketuanan Melayu, mereka boleh terbang lebih tinggi! Maza seorang tukang tilik yang amatlah serong.
Kedua, Maza lupa yang di tanah suci Islam sendiri, terdapat orang yang hidup penuh kemiskinan. Mungkin orang Malaysia dapat menunaikan haji dan umrah dalam kemewahan, tetapi banyak negara lain tidak boleh. Mereka terpaksa mengemis untuk makan dan terpaksa tidur di kaki lima sahaja. Adakah ini salah agama Islam? Atau pun kerajaan Wahabi Saudi yang lebih suka menghabiskan dana mereka di Barat untuk keseronokan mereka!
Bukan sahaja itu, negara-negara Islam amatlah ketinggalan berbanding India yang telah banyak maju dari segi pembanguan sains dan teknologi. Islam secara idealnya tiada kasta tetapi secara praktisnya, memang banyak pengkastaannya. Tanyalah pekerja-pekerja asing yang beragama Islam di negara Arab dan tengoklah sendiri.
Jadi beginilah seorang ulamak yang begitu sempit pemikirannnya. Dia lebih kepada pemikiran berpuak daripada pemikiran yang memberi analisa yang adil.
=====================================================================
Pandangan peribadi Farouk A Peru, Islamologist dan penulis.
Leave a Comment