Saya amat kasihan apabila membaca kisah Lisza Laressa berhadapan dengan Islamofasis (Muslim yang menggunakan Islam untuk menindas) di masjid. Dia bukannnya apa salah sangat pun. Dia hanya membeli makanan untuk ibubapanya yang belum makan satu hari kerana adiknya diwadkan sebab kemalangan. Sambil menunggu ibubapanya makan, dia berteduh di masjid tetapi kerana dia tidak bertudung pada masa itu, dia dikenakan serangan mulut oleh lelaki dalam video ini.
Beginilah Malaysia pada ketika ini. Kalau dulu kita biasa sahaja dengan tidak bertudung, sekarang tudung menjadi obsesi Melayu Islam. Cuba kita tengok siri-siri televisyen, filem ataupun gambar-gambar dari zaman sebelum 1990an. Wanita Melayu Islam kebanyakannya tidak memakai tudung. Terdapat juga gambar isteri-isteri pemimpin Islam yang tidak memakai tudung!
Jadi sebabnya bukan kerana Melayu tidak tahu menahu hukum Islam. Sebabnya ialah kita belum menjadi pentaksub Arab. Kita lebih memahami, pada masa itu, yang islam bukanlah terletak kepada sesuatu pakaian tetapi sifat kesederhanaan yang memang ada pada Melayu Islam.
Walaupun sekarang wanita memakai tudung, tetapi kepada sesetengah daripada mereka, sifat keegoan semakin menebal dan wanita yang ‘freehair’ menjadi kejian. Tudung juga telah menjadi satu unsur fesyen dan beratus-ratus ringgit boleh terkeluar untuk sesuatu tudung ‘branded’. Inikah tujuan bertudung? Rasanya tidak!
Layanan bengis
Tudung atau tidak, patutkah Lisza Laressa diberi layanan bengis seperti di dalam video ini? Sudah tentu tidak! Sepatutnya, masjid menjadi tempat untuk semua orang berteduh dan memelihara diri.
Jika kita mengkaji konsep masjid daripada Al-Quran (Surah Al-A’raf, Ayat 29 contohnya) masjid-masjid sepatutnya menjadi tempat di mana keadilan didirikan. Adakah adil ibubapa Cik Lisza yang belum makan terpaksa menunggu sehingga hujan, petir dan kilat berhenti hanya kerana dia tidak bertudung? Juga sudah tentu tidak!
Sebenarnya, kerana ulamak-ulamak yang mempunyai pendekatan yang amat dangkal terhadap Islam, orang-orang bengis seperti lelaki di dalam video ini telah salah faham mengenai prioriti dalam Islam. Tudung yang tidak pernah disebut pun di dalam Al-Quran menjadi kriteria masuk ke dalam masjid tetapi hal ehwal manusia tidak diperdulikan langsung. Ubahlah sikap sebelum terlambat…
=============================================================
Oleh Farouk A Peru, penulis, Islamologis, kreativis dan kolumnis tetamu, ia lah warganegara Malaysia yang berani berhadapan dengan pihak Islamofasis.
Leave a Comment