Kematian adik Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffi diratapi segenap lapisan rakyat Malaysia pada hari ini. Setelah berhari-hari nasib Thaqif menjadi tanda tanya, akhirnya dia meninggalkan kita.
Mula-mula, kedua-dua kakinya dipotong, kemudian satu tangannya terpaksa dipotong tetapi jantungnya terlalu lemah jadi pembedahan it ditangguhkan. Begitu sedih kita merenungi betapa susahnya hidup yang bakal dihadapinya sebagai seorang kurang upaya seumur hidup nanti. Namun Tuhan lebih mengetahui dan telah mengambilnya kembali.
Dalam pada itu, muncullah pula presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta), Mohd Zahid Mahmood untuk membela sekolah-sekolah tahfiz. Bukan nak mengucap takziah atau simpati kepada keluarga Thaqif. Tidak, prioriti businessman penjaja agama ini ialah untuk memastikan yang reputasi sekolah-sekolah tahfiz tidak tercemar dengan tragedi ini.
Saya nak tanya kepada Zahid – siapa yang mengambil pembunuh adik Thaqif kerja?
Sudah tentu pengetua dan ajk-ajk sekolah tahfiz itu sendiri. Adakah mereka menggunakan akal mereka ataupun, seperti Nabi Muhammad, mereka dibimbing wahyu?
Kalau mereka menggunakan akal, mengapa mereka memilih seorang penjenayah yang ditakuti budak-budak sekolah, seperti yang dilaporkan suratkhabar?
Kebodohan ulamak
Ada juga orang yang mengatakan ini takdir Tuhan. Ini bukan takdir Tuhan, ini kebodohan ulamak-ulamak pentadbir sekolah yang tidak faham bagaimana menguruskan institusi. Mungkin mereka boleh mengerjakan solat hajat saja, seperti Pas!
Yang ironiknya, perdana menteri, Najib Razak, sendiri baru memberi dana 80 juta kepada sekolah pondok, sekolah menengah agama berdaftar dan sekolah tahfiz.
Adakah Najib akan menyelidiki bajet-bajet sekolah ini dan memastikan ulamak-ulamak tidak menyonglap dana yang diberi kerajaan itu? Tuhan sahaja yang tahu. Harap-harap, dana ini tidak akan disalahgunakan untuk ‘brainwash’ budak-budak sekolah ini untuk membenci orang lain dan akhirnya menjadi anak murid Wandy Jedi pula!
Kepencilan golongan Melayu
Sebenarnya, kita tidak memerlukan langsung sekolah-sekolah tahfiz mahupun sekolah aliran agama. Sekolah-sekolah sebegini hanya akan memencilkan golongan Melayu Islam daripada Rakyat yang lain dan juga daripada realiti.
Pendidikan agama di sekolah-sekolah kerajaan sudah lebih dari mencukupi. Kita perlu menyediakan jenerasi muda yang tangkas dan berani bersaing di pasaran kerja.
Dengan agamawan-agamawan yang bertimbun, mereka hanya akan bersaing dalam pasaran agama sahaja dengan menjadi asatizah selebriti, imam muda, imam tua, pencetus ummah, pencetus punah dan sebagainya. Inilah kasta paderi yang telah melekakan umat Islam dan menyebabkan mereka jauh ketinggalan di dunia.
==============================================================================
Oleh Farouk A Peru, penulis, Islamologis, kreativis dan kolumnis tetamu.
Leave a Comment