Saya amatlah hairan dengan kerajaan pimpinan UMNO. Tahun ini, genaplah 60 tahun UMNO memerintah Malaysia dengan menjadi parti terbesar orang Melayu Islam. Telah bertimbun slogan yang mereka cuba menjual kepada orang Melayu: Melayu global lah, Melayu glokal lah, Melayu korporat lah, Islam hadhari lah, ulil albab lah. Semuanya menampakkan yang orang Melayu memang patut cerdas dan tangkas dalam berfikir.
Tetapi….ada pula Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Sebahagian daripada kerja JAKIM yang bajetnya 1 bilion ringgit (sampai sekarang kita belum ketahui butir-butirnya, haram diketahui kot!) ialah memantau dan membenteras ‘ajaran-ajaran sesat’.
Apa itu ‘ajaran sesat’? Mudah sahaja – bergantung kepada cuaca politik pada sesuatu zaman.
Kalau dulu ‘ajaran sesat’ termasuk aliran Wahabi tetap tidak Syiah, sekarang sudah berubah.
Wahabi tidak lagi dikatakan sebagai sesat tetapi golongan Syiah ditindas. Jentera propaganda agamawan di Malaysia begitu berpengaruh sehingga Melayu yang dulu tidak tahu-menahu siapa itu Syiah (mungkin mereka ingatkan pelakon ‘Transformers’ iaitu Shia LeBouf!) sekarang amat tebal dalam kebencian kepada golongan tersebut!
Siti menjadi sasaran untuk JAKIM
Kali ini, bukan golongan tapi individu. Peguam yang sudah tidak asing lagi kepada aktivis-aktivis masyarakat Malaysia, Siti Zubaidah Kasim akan dipersoal JAKIM kerana kononnya melahirkan pendapat mengenai Tuhan.
Komen ini dikeluarkan tiga tahun yang lalu tetapi baru sahaja diwar-warkan oleh sebuah laman web tempatan.
Seperti yang dijangkakan, komen-komen Melayu Islam terhadap pendapat ini amatlah pedas. Tiada satu pun yang cuba memahami pendapat yang dikatakan daripada Siti. Beginikah Melayu yang nak jadi global/glokal/hadhari/ulil-albab?!
Cara untuk capai kemajuan
Kalau Melayu Islam hendak maju mereka perlu mempunyai daya fikiran yang tinggi. Fikiran sebegini tidak harus takut kepada sebarang soalan pun.
Malangnya, dalam bidang yang paling abstrak iaitu bidang agama, Melayu Islam tidak dibenarkan berfikir langsung.
Ini adalah kerana yang mengagihkan ilmu agama itu, para asatizah, tidak mahu pengajaran mereka tercabar.
Lazimnya, mereka adalah daripada universiti-universiti di mana proses pembelajaran terdiri daripada hafalan maklumat. Sesiapa yang mengeluarkan pendapat yang dianggap mencabar akan dibuang.
Asatizah ini yang telah memberi anak-anak kita pelajaran agama dan membuntukan fikiran mereka selama lebih tiga puluh tahun. Apa yang bukan daripada budaya Arab adalah dianggap kufr.
JAKIM takut Melayu berfikir
Jadi tidak hairanlah mengapa pendapat yang kononnya daripada Siti Kasim dianggap sebagai sesat dan sebagainya. JAKIM bertindak sebagai polis pemikiran Melayu Islam.
Bilamana sahaja kita berfikir diluar perimeter yang ditentukan, mereka akan dipanggil untuk memberi keterangan.
Jadi Melayu Islam akan takut untuk berfikir dan daya pemikiran mereka sentiasa tidak akan membangun. Tapi ini bukan masalah JAKIM. Mereka hanya akan ambil peduli bila periuk nasi mereka tercabar.
================================================================================
Oleh FAROUK A PERU: Penulis, Islamologis, kreativis dan kolumnis tetamu, ia lah warganegara Malaysia yang berani berhadapan dengan pihak Islamofasis.
Leave a Comment