Kasihan betul Rakyat Malaysia. Apabila mereka berkahwin dengan warga asing, pasangan mereka begitu susah mendapat status penduduk tetap (permanent resident atau ‘PR’). Saya kenal ramai yang begitu. Jabatan Pendaftaran Negara telah disalahguna. Orang yang betul-betul patut mendapat PR dan kewarganegaraan dibelakangkan dan orang-orang pendatang yang baru sahaja sampai diberi status-status tersebut supaya mereka menyokong parti pemerintah. Inilah keadaan di Malaysia.
Apa dia kriteria Zakir diberi status ‘PR’
Sekarang, Zakir Naik, pendakwah Islamofasis (mereka yang menggunakan Islam untuk agenda penindasan mereka) yang juga menjadi buruan di India telah dikatakan telah mendapat status PR sejak lima tahun dulu. Ini menurut timbalan perdana menteri. Apakah kriteria Zakir mendapat status PR? Adakah kerana dia pandai mengampu Umno? Dan mengapa Rakyat Malaysia tidak diberitahu? Kerana jentera kerajaan itu menjadi alat parti pemerintah, mungkin?
Zakir Naik ada seorang yang tiada berprinsip langsung. Dia sanggup menggandingkan fahaman Wahabinya dengan ideology rasis Melayu demi mendapat sokongan Perkasa dan Melayu ultra. Sila perhatikan video ini. Di sini, kita boleh menonton Zakir Naik menyatakan bahawa semua agama lain kecuali Islam adalah batil semata-mata dan hanya Islam sahaja yang benar (maksudnya ialah aliran Wahabinya yang kini disokong di Malaysia).
Yang hairannya, dia tidak pula mengatakan yang ideology rasisme Perkasa boleh diterima sebagai sekutu kepada Islam (dalam bahasa Arab, ‘syarik’ yang berasal daripada ‘syirik’ iaitu penyekutuan). Jika tuhan dalam Islam adalah Allah, siapa tuhan dalam ideologi rasisme Melayu? Mungkin Ibrahim Ali, presiden katak Perkasa yang boleh melompat ke sana sini demi untuk kepentingan sendiri?
Islam tidak memerlukan agenda rasisme Melayu
Inilah Zakir Naik. Sepatutnya, kalau dia benar-benar mentauhidkan Islam dan menolak ideologi lain, dia akan menolak pingat sampah Perkasa dan mengajak mereka kepada Islam sebenar. Islam yang asli daripada Tuhan tidak memerlukan agenda rasisme Melayu untuk memberi kejayaan kepada pengikutnya. Tapi Zakir pun sebenarnya seperti Ibrahim Ali, Hadi Awang, Mufti Harbi Pahang dan sebagainya, hanyalah penunggang agama. Allah itu hanya kalimah di bibir Zakir sahaja. Apabila masa tiba untuk mempertahanan kesucian konsep-konsep Al-Quran, dia lebih suka bersembunyi dalam kain Ibrahim Ali!
Apa pula firman Allah? Allah meletakkan Al-Quran sebagai ‘akbaru shahadah’ (persaksian terbesar, Surah Al-An’aam, Ayat 19) yang mengaitkan Al-Quran dengan tauhid. Maka, jika kita benar-benar menyokong ajaran Al-Quran, kita tidak boleh mendukung ideologi yang bertentangan dengannya. Dalam kitab yang sama, kita dapati ajaran untuk memberi semua bangsa pengiktirafan (49/13) dan memuliakan bani Adam, iaitu segenap lapisan manusia (17/71). Bukan itu sahaja, malah Al-Quran tidak pernah membezakan antara kaum mahupun agama dalam memberi ihsan (2/83, 4/36, 6/151 dan 17/23). Itulah Islam yang sebenar, bukan ideologi Zakir Naik, penjaja agama dan menjadikan Islam itu sebagai bahan roadshow-nya sahaja.
Hantar sahaja batu api terorisme ini balik ke India untuk dibicarakan. Dia hanya akan membawa huru-hara yang lebih teruk ke negara kita.
================================================================================
Oleh Farouk A Peru, penulis, Islamologis, kreativis dan kolumnis tetamu; ia adalah warganegara Malaysia yang berani berhadapan dengan pihak Islamofasis.
Leave a Comment