Jika Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, adalah harapan masa depan PAS, maka PAS patut bersedia untuk masa depan gelap yang panjang.
Sikap Nik Abduh yang jelas terpampang dalam artikel ini menunjukkan sikap acuh tak acuhnya terhadap Rakyat Malaysia yang bukan Islam.
Isu ini adalah mengenai pemelukan Islam anak-anak oleh ibu atau bapa mereka (unilateral conversion). Lazimnya, apa yang berlaku ialah ke atas pasangan bukan Islam yang tidak lagi sehati dan sejiwa yang ingin bercerai. Salah seorang daripada pasangan itu, untuk mendapat hak penjagaan anak-anak mereka, akan masuk Islam. Dengan berbuat demikian, mereka akan membawa masuk mahkamah syariah yang sudah tentu akan bias kepada ibu atau bapayang baru masuk Islam tersebut. Dengan ini, ibu atau bapa mualaf itu akan dapat memenuhi hasrat mereka.
Islam patut berdiri dengan hujah
Kata Nik Abduh, dengan mengubah undang-undang ini untuk menghalang ‘unilateral conversion’, ia boleh merosakkan iman umat Islam.
Bagaimana pula tu? Adakah iman kita bergantung kepada pemelukan kanak-kanak dengan tidak memberi keizinan daripada bekas pasangan kita?
Bukankah Islam patut berdiri dengan hujah dan bukan cara seperti pencuri yang menyelinap masuk rumah orang?
Tapi Nik Abduh tidak peduli itu semua. Setelah kalah teruk dalam pengundian perwaklian Pengkalan Chepa tempoh hari, Nik Abduh makin terdesak untuk kembali sebagai jaguh PAS!
Moraliti ‘unilateral conversion’
Adakah ‘unilateral conversion’ bermoral? Sudah tentu tidak.
Pertama-tama sekali, adakah baik jika kita memaksa anak untuk menganut sesuatu agama yang tidak dikenali mereka? Ini akan mengakibatkan konflik atau trauma psikologi kepada mereka.
Kedua, adakah tindakan ini adil kepada bekas pasangan kita yang kita kahwini dulu? Mereka mengahwini kita dengan niat baik untuk berkeluarga dalam agama dan budaya yang telah dipersetujui. Sekarang, kita telah mengkhianati perjanjian itu dan mereka secara otomatik terpaksa mengalah dan menyerahkan hak mereka. Ini sudah tentu tidak adil.
Ketiga, ini akan memburukkan imej Islam yang akan dilihat sebagai agama zalim walaupun sebenarnya, PAS bukan mengikut Islam pun tetapi ulamak songsang mereka.
Tamak kuasa, tiada prinsip
Tapi ini semua bukan isu bagi PAS. Meraka tamakkan kuasa dan tidak memperdulikan hal ehwal rakyat. Pada tahun yang lepas, setiausaha agung PAS, Takiyuddin Hasan telah memberi amaran kepada golongan bukan Islam – jika mereka menghalang penguatkuasaa mahupun perbincangan tentang RUU355 (untuk memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah), PAS akan menghalang reformasi undang-undang yang membolehkan seorang ibu atau bapa memaksa anak mereka memeluk Islam.
Begitulah wajah PAS yang sebenar – mereka tiada prinsip yang dipegang. Kalau kita tidak memenuhi hasrat mereka, mereka akan membabaskan niat baik kita. Keadilan mereka yang di mulut sahaja.
PAS di permainkan
Jadi inilah sentimen Nik Abduh sekarang. Dia tidak ambil kisah kepada ibu atau bapa yang telah hilang anak-anak mereka kepada undang-undang yang berat sebelah walaupun Al-Quran menyuruh kita berlaku adil sesama manusia walaupun ia bertentangan dengan kepentingan sendiri (4/58, 4/135).
Tapi PAS membaca kitab lain. Yang penting ialah bilangan orang Islam meningkat dengan apa cara sekalipun, itulah mentaliti songsang PAS.
Terkini – Najib Razak telah putuskan untuk tidak bentangkan RUU355 di parlimen. Penyokong-penyokong PAS telah dipermainkan, bukan oleh Najib, tetapi oleh barisan pemimpin PAS yang lewat-lewat ini telah memberi sokongan kepada UMNO.
Kesimpulannya? PAS patut dibuang ke tepi. Sokonglah parti yang memperjuangkan keadilan untuk semua.
================================================================================
Oleh FAROUK A PERU: Penulis, Islamologis, kreativis dan kolumnis tetamu, ia lah seorang warganegara Malaysia yang bijak dan yang berani berhadapan dengan pihak Islamofasis.
Leave a Comment