Aiman berkata: Baru sahaja lebih seminggu Parlimen dibubarkan dan genap seminggu tarikh Piliharaya Umum ke-14 diumumkan, tapi medsos sudah penuh dengan segala macam tomahan dan cacian kesat dari kedua-dua belah pihak. Ikhlas saya kata, yang saya nanti-nantikan adalah tarikh akhir untuk musim pilihanraya kali ini, kalau bukan untuk perubahan pun, setidak-tidaknya untuk kita semua bernafas kembali dan pengakhiran permusuhan yang tak ada fungsinya ini. Seperti yang dijangka, segala macam tomahan, cacian kesat, keji hina, tipu fitnah ditabur, dilontar di laman medsos; dari orang bangsawan besar-besar sampailah kita yang marhaen ini. Selalunya saya pejamkan saja sebelah mata, dan kalau saya tak mampu tahan lagi, butang “unfollow” jadi pilihan. Ada satu tomahan keji khususnya yang buatkan saya rasa paling marah – Orang Melayu Muslim Liberal sokong DAP dan HARAPAN adalah Pengkhianat Bangsa. Pernyataan ini (dan variasinya) selalu diiringi dengan gambar atau petikan kata-kata mereka yang melalui hari berdarah 13 Mei, dengan niat untuk membangkitkan segala amarah dan kebencian kaum yang akan terus menerus memisahkan hubungan kita sesama manusia.
Saya sendiri pernah dituduh sebagai “Melayu Muslim Liberal” yang khianat pada bangsa dan agama sendiri hanya kerana ada dikalangan mereka yang kurang senang dengan tona penulisan dan isu yang saya bangkitkan dalam surat terbuka saya dan catatan-catatan saya yang sebelumnya. Dalam masa yang sama mesej-mesej kebencian dilontarkan, saya bersyukur sebab ada juga mereka yang mengambil masa untuk menghantarkan mesej sokongan. Sejujurnya, saya tidak sangka akan ada orang yang mengambil masa untuk baca surat itu. Lahir rasa rendah diri dan besar hati bila saya dapat mesej-mesej sokongan itu semua. Terima Kasih.
Dua Bahagian
Kembali pada topik catatan ini, ada 2 bahagian pada pernyataan diatas yang ingin saya bincangkan, yang pertama : Melayu yang sokong DAP dan HARAPAN adalah Pengkhianat Bangsa. Pertama-tamanya, saya bukan ahli mana-mana parti politik mahupun gerakan politik. Keluarga dan kawan-kawan saya terdiri daripada mereka yang menyokong secara aktif atau ahli parti politik dari kedua-dua pihak. Tidak pernah, dalam perhubungan kami biarkan fahaman politik menidakkan rasa kasih dan cinta pada satu sama lain. Tidak pernah, kami benarkan percanggahan politik kami memberi kesan pada silratulrahim kami sebagai kawan ataupun keluarga. Ya, kami tidak sentiasa bersetujuan, kami bertengkar, kami berdebat, tapi keluarga mana yang tidak pernah bergeseran? Namun, kami tetap jaga rasa hormat, kasih dan cinta antara kami. Makanya, pertuduhan-pertuduhan berbaur fitnah dan kebencian semacam ini adalah sesuatu yang sangat asing bagi saya.
Adakah memahukan keadilan itu sesuatu yang khianat? Bukankah Adil mengikut definisi Islam adalah meletakkan sesuatu pada hak nya? Contoh paling dekat boleh saya berikan, Arwah moyang saya (Hj. Lembang) berakit ke Malaya diantara tahun 1885-1890 untuk memulakan hidup baru dari Sumatra. Mendiang moyang kawan saya juga sampai di Malaya lebih kurang pada masa yang sama dari China. Mereka memulakan hidup baru, bekerja dan kemudiannya membina keluarga masing-masing. Kini di tahun 2018, saya dan seluruh keturunan Arwah Haji Lembang diiktiraf sebagai “Bumiputra”, dan kawan saya yang berbangsa Cina itu masih lagi dianggap sebagai kaum pendatang, bukan sahaja dari sentimen tetapi juga dari segi pelaksanaan dasar-dasar kerajaan – tidak ada kuota khas untuk mereka di pusat pendidikan tinggi awam, tiada kuota khas untuk mereka dalam peruntukan biasiswa, tiada kuota khas untuk mereka dalam skim amanah saham, tiada kuota khas untuk mereka dalam urusan pembelian harta; walaupun hakikatnya kedua-dua keturunan kami bukan berasal dari Malaya. Dalam hal ini, mana letaknya adil itu? Mana letaknya hak mereka?
Semua keburukkan dan kejahatan yang terjadi di Malaysia dihempaskan pada pangku mereka, orang Melayu kurang berjaya kerana apa? Kerana orang Cina yang membolot semua harta kekayaan. Banyaknya jenayah di negeri ini kerana apa? Kerana orang India yang buruk peribadinya. Yang baik, yang mulia, yang hebat orang melayu semata; yang buruk, yang hina, yang jahanam mereka yang lain. Tuhan itukan Maha Adil, tak mungkin segala yang baik hanya dapat pada satu bangsa. Kalau ada mulia dikalangan orang Melayu, masakan tidak ada yang bangsat juga?
60 tahun kita merdeka, 60 tahun juga sebahagian besar pemimpin politik dan kerajaan kita orang melayu, tapi sampai sekarang masih ada orang Melayu yang fakir harta dan fakir ilmu. Nah, masakan ini juga salah bangsa lain? Kalau difikirkan secara logik, kalau benar semua pemimpin Melayu berjuang untuk bangsa dan bukan untuk tembolok sendiri, bukan sepatutnya semua orang Melayu sekarang patut hidup senang lenang? Bukan sepatutnya semua orang Melayu sekarang punyai kebolehan intelektual yang tinggi? Ternyata ini bukan hakikatnya.
Jasa orang yang bukan Melayu
Malaysia bukan dibina diatas darah dan keringat orang Melayu samata. Kawan baik arwah ayah, Uncle Yong, seorang polis. Dia juga berjuang, berkhidmat bersama-sama anggota skuadnya yang lain. Tidakkan kita boleh menidakkan jasanya? Tidakkan kita boleh menidakkan luka darahnya yang menitis semasa berperang dengan komunis? Tidakkan kita boleh menidakkan rasa cintanya pada tanah ini? Saya percaya Uncle Yong bukan seorang, ramai lagi kawan-kawan arwah ayah yang bukan Melayu dan hidup berkhidmat sebagai polis dan askar. Apa mereka tidak cukup berbakti untuk dapat hak yang sama?
Anak Melayu tidak pernah dididik oleh cikgu yang bukan Melayu? Tidakkah feqah hadis mengajar kita tentang tinggi kemuliaan seorang cikgu? Cikgu bukan Melayu yang memimpin, Cikgu bukan melayu yang membentuk minda, Cikgu bukan Melayu yang mendidik, tidak cukup lagikah bakti mereka untuk mendapatkan hak yang sama? Antara benda yang jadi kepantangan arwah ayah, kalau saya berjumpa dengan cikgu saya (tak kira Melayu, Cina, India) dan saya tak bersalaman cium tangan; kata dia – Nabi angkat tinggi kedudukan cikgu, rendahkan kepala salam cikgu pun kau tak mampu?
Tidakkah orang Cina dan India juga berjasa dan berbakti dalam pembangunan dan pembentukkan tanah ini? Maka, semua jasa – darah, peluh dah keringat – mereka harus kita nafikan semata-mata untuk menidakkan mereka hak yang sama? Hari berdarah 13 Mei selalu diungkit bila mana perbincangan mengenai hak saksama diutarakan, tapi persoalannya, sampai bila perlu ianya diungkit? Semua pihak menangis air mata darah, 13 Mei adalah hari dimana kita semua kalah, tidak ada yang tampil menang, kecuali mereka yang berkepentingan.
Fungsi sejarah
Fungsi sejarah sepatutnya mengajar kita untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama, mengajar kita untuk jadi lebih baik, bukan menahan kita di takuk pemikiran yang kolot dan terus memendam rasa benci kesumat. 49 tahun sudah kita tempuhi tarikh hitam itu, bukankan masanya untuk kita bangkit bersama dan bergerak ke arah masa depan yang lebih baik, lebih saksama? 30 tahun dari sekarang, kalau anak-anak buah saya bertanya “Kenapa Baba tak pernah menyokong usaha untuk menjadikan tanah air ini satu negara yang lebih adil, lebih saksama? Kenapa Baba terus menerus mewarisi dendam kesumat dan rasa benci?”, apa yang hendak saya jawabkan?
Pengajaran Islam
Sejujurnya bagi saya, politik dan polisi perkauman tidak lagi relevan. Kita selalu dimomokkan dengan idea yang orang Melayu tak mampu untuk berdiri diatas kaki sendiri. Sepanjang hidup saya, takdirnya saya banyak berjumpa dengan orang-orang Melayu yang bijak pandai, yang mampu untuk berdiri diatas usaha sendiri, yang punyai pandangan jauh, yang tidak dangkal, yang tidak bodoh. Benar, ada dikalangan orang Melayu yang fakir miskin dan perlukan bantuan, tapi bukankah kenyataan ini juga benar untuk orang Cina, orang India? Jadi kenapa perlu dinafikan bantuan untuk mereka hanya semata mereka bukan Melayu, bukan Islam? Adakah Islam mengajar untuk hanya membantu sesama Islam? Adakah termaktub dalam adat dan adab orang Melayu untuk hanya membantu sesama Melayu? Ini bukan soalan sinis, kalau benar itu yang diajar, kalau benar itu yang termaktub, mohon diperbetulkan saya.
Kan disebut oleh Rasul-Nya, “Wahai manusia, ingatlah sesungguhnya Tuhanmu satu dan sesungguhnya ayahmu satu. Ketahuilah, tidak ada kelebihan orang Arab atas yang bukan Arab, tidak pula yang bukan Arab atas orang Arab. Tidaklah lebih mulia orang berkulit hitam atas orang berkulit merah, dan tidak lebih mulia orang yang berkulit merah atas yang orang berkulit hitam. Yang membezakan hanyalah taqwanya.” Jadi, dari mana kita dapat usul yang orang Melayu lebih penting dari orang lain?
Ini membawa saya kepada persoalan saya yang kedua – Melayu Muslim Liberal.
Melayu Muslim Liberal
Apa maksudnya “Muslim Liberal” itu? Setahu saya seorang Muslim itukan sepatutnya seorang yang berusaha bebas (liberate) dari kejahilan, kezaliman, dan keburukkan; dan memelihara (conserve) serta memupuk ilmu, kebaikan dan keamanan? Bukankah Muslim itu sepatutnya seorang yang liberal dan konservatif pada masa yang sama? Mana mungkin seorang muslim itu mahukan memelihara dan memupuk ilmu tapi tidak mahu bebas dari rantai kejahilan?
Jadinya, pernyataan dan persoalan yang sepatut dilemparkan adalah – adakah kamu seorang Muslim yang baik? Maka ini boleh dengan jujurnya saya jawab – Tidak, saya bukan seorang Muslim yang baik. Saya seorang yang banyak melakukan dosa. Saya seorang yang banyak melakukan kesilapan. Saya bukan seorang Muslim yang baik.
Saya tidak malu untuk mengaku yang saya bukan seorang Muslim yang baik, yang bebas dari dosa. Dosa dan kesilapan yang saya lakukan tertanggung diatas pangku saya sendiri. Seperti manusia lain, saya berusaha untuk memahami kesilapan saya, untuk terus memperbaiki diri, untuk mengubah perlakuan saya untuk menjadi seorang manusia yang lebih baik, yang lebih jujur, yang lebih amanah. Jauh lagi perjalanan saya, ada masanya saya rasa seperti hendak putus asa dan tidak mahu berubah, ada masanya saya membenci diri saya sendiri diatas kesilapan-kesilapan yang saya lakukan, ada masanya saya rasa mahu hentikan semua ini dan biarkan ia membuak dengan nanah. Takdirnya, saya masih lagi menapak untuk berubah, saya sedar saya perlu lakukan ini sendiri, dan bukan untuk orang lain, tetapi untuk kebaikan saya sendiri. Saya juga mula sedar, untuk melakukan perkara yang baik ianya bukan sesuatu yang mudah. Mungkin sebab itu, usaha kearah kebaikan itu sesuatu yang mulia, sesuatu yang dituntut.
Jadi, untuk mereka-mereka yang selalu mengeji orang yang tidak bersependapat dengan mereka, yang selalu menghukum orang yang mereka rasakan hina, hanya ini yang boleh saya ingatkan – “Biarlah diantara kamu yang tidak berdosa lontarkan rejaman batu yang pertama” (John 8:7)
Artikel ini pandangan peribadi penulis
16hb April 2018
=====================================================================

AA 艾曼
Aiman Syaaban Azahari, adalah seorang penerbit bebas, yang kini sedang berehat di kampung halamannya, di Beserah, Kuantan, Pahang.
Beliau keturunan “rojak”, dan berpendapat bahawa semua rakyat Malaysia harus bersifat polyglot (mengetahui pelbagai bahasa).
Leave a Comment