“Mengapa Menyimpan Anjing Salah, JAKIM?” tanya Farouk A. Peru

Hampir dua tahun yang lalu, Sultan Johor telah bertanya soalan yang penting – mengapa Jabatan ‘Kemajuan’ Islam Malaysia (JAKIM) memerlukan bajet sebanyak 1 bilion ringgit?

Selepas dua tahun, jawapan terperinci belum diwartakan. Sepatutnya, organisasi yang profesional seperti JAKIM, Islamik pulak tu yang membawa implikasi ketelusan and kejujuran, dapat menunjukkan bagaimana mereka membelanja duit rakyat sampai begitu banyak pada masa rakyat kian hidup susah.

Sekarang pulak, JAKIM meroyan apabila video seorang wanita Islam bersama anjing kesayangannya diviralkan di media social.

Menunjukkan semangat islam yang sebenar

Wanita itu, Nurhanizah Abdul Rahman dan anjingnya, Bubu telah berkawan sejak Nurhanizah menyelamatkan Bubu dulu. Cerita ini amat menyejukkan hati dan menunjukkan semangat islam yang sebenar tetapi sedihnya, JAKIM lebih mementingkan hukum-hukum kuno tanpa minda yang kritis. Menurut JAKIM, Nurhanizah menghina Islam tetapi sebenarnya, dialah yang memperjuangkan islam dalam kes ini.

Di manakah hinanya Islam, pulak? Pengarah tinggi JAKIM, dalam kenyataannya, tidak pula memberitahu kita di mana penghinaannya. Menurutnya, ia ‘menghina Islam’. Islam yang mana tu, Othman? Mazhab Maliki dalam Ahlus Sunnah juga mempunyai pandangan berbeza. Kalau Al-Quran lagilah jauh bezanya.

Dalam Al-Quran (Surah Al-Maidah, Ayat 4), makanan binatang hasil tangkapan anjing buruan dikira sebagai halal. Bagaimanakan makanan yang telah bercampur dengan air liur, peluh dan mungkin darah anjing boleh jadi halal kalau anjing itu sendiri najis berat? Tak masuk akal langsung!

Cerita Ashab al-kahf

Bukan sahaja itu, dalam cerita Ashab al-kahf, sahabat-sahabat gua, anjing mereka pun disebut. Kenapa anjing mereka disebut jika ia tidak penting. Dalam satu ayat (18/22), ia disebut sampai tiga kali! Ini menunjukkan keakraban mereka kepada haiwan itu dan keakraban ini diperakui Tuhan.

Bagaimana pula hadis yang mengatakan yang malaikat tidak akan masuk rumah yang mempunyai anjing atau gambar? Kalau begitu, maka orang-orang yang menyimpan anjing akan hidup selamanya kerana malaikat maut tidak dapat masuk rumah mereka!

Bukan sahaja itu, JAKIM patut juga mengharamkan televisyen kerana ia adalah paparan berjuta gambar dalam ‘stream’. Inilah logik JAKIM yang bernilai satu bilion – teramatlah ‘fail’. Tak berbaloi dengan bajet yang begitu besar.

Anjing adalah haiwan yang menjadi teman yang paling setia kepada manusia. Ia boleh menyelamatkan nyawa manusia juga. Harap JAKIM dapat meluaskan minda dan kembali kepada ajaran Al-Quran.

=========================================================================

Pandangan peribadi Farouk A Peru, Islamologist dan penulis.

Komen
0Shares

Leave a Comment