Penafian Melayu

Hadi Awang, presiden PAS, merujuk sebahagian umat Islam sebagai “lost sheep“. Ironinya ia adalah metafora Kristian. Hadi sendiri boleh dilabel sebagai “serigala berbulu kambing” (a wolf in sheep’s clothing).

Sesetengah golongan beragama dikatakan telah ‘merosakkan’ minda orang Melayu, sehingga mereka tidak dapat menerima sebarang kebenaran.

Apabila kamu cuba memujuk ibu bapa berbangsa Melayu supaya mengamalkan perancangan keluarga, mereka akan berkata, “Kanak-kanak adalah anugerah Allah”.

Apabila kamu memberitahu mereka bahawa memandu secara melulu boleh menyebabkan kemalangan, mereka akan menjawab: “Jika ia kehendak Allah, kami reda”.

Apa yang menyedihkan bahawa hadis, “Menimba ilmu adalah wajib atas setiap umat Islam”, yang apabila digabungkan dengan peluang memperbetulkan dosa dan kesalahan seseorang untuk memperbaiki diri, hilang daripada Melayu. Mengapa begitu ramai orang Melayu begitu degil?

Ramai orang Melayu menghadapi kesukaran untuk ‘membuka’ minda dan mengakui kelemahan sendiri.

Majoriti mereka tidak dapat membezakan antara agama dan budaya. Mereka keliru apa yang betul dengan apa yang berkuasa.

Melayu yang lebih angkuh pula berpendirian bahawa ‘kedudukan istimewa’ yang disebut dalam perlembagaan adalah sinonim dengan ‘hak istimewa’. Ini salah!

Jika anak-anak adalah pemberian Tuhan, mengapa kanak-kanak, atau ibu bapa, menganggap nyawa mereka itu sebegitu murah, atau komoditi tidak bernilai?

Memang diduga

Tragedi berbasikal di Johor Baru, paa 18 Februari, adalah satu kemalangan yang memang diduga untuk berlaku.

Polis telah berulang-kali cuba menyuraikan penunggang basikal. Kanak-kanak dengan basikal yang diubah suai itu dengan cepat akan menghilangkan diri apabilia melihat kelibat kereta polis.

Pokoknya, penunggang basikal itu tidak sepatutnya berada di lebuh raya. Mereka tidak seharusnya berkumpul tengah-tengah jalan raya, atau pembahagi jalan.

Kanak-kanak seharusnya lena di katil masing-masing sebelum jam 3 pagi kerana mereka perlu ke sekolah keesokan harinya.

Sebaliknya, kanak-kanak ini, dan sesetengah ibu bapa mereka, mengharapkan orang ramai memahami mereka.

Penunggang basikal muda ini sebenarnya adalah bakal Mat Rempit yang sedang dalam latihan.

Di Kuala Lumpur, Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor, yang mungkin mendakwa mempunyai otak terbaik di kalangan pemikir Umno Baru, mahu Mat Rempit dibenarkan untuk berlumba di sepanjang jalan kediaman tertentu.

Beliau harus memulakan perlumbaan di jalan sekitar kediamannya, atau jalan di mana PM dan menteri-menteri lain menghuni.

Banyak unsur perjudian atau pertaruhan mengiringi perlumbaan seumpama ini ini. Mungkin, seperti sesetengah umat Islam, Tengku Adnan merasakan bahawa pengecualian untuk berjudi harus dibenarkan pada malam perlumbaan.

Kawalan berlebihan

Berikut adalah dua jawapan daripada ibu bapa beberapa penunggang basikal yang tercedera itu.

Seorang bapa, yang anaknya mengalami kecederaan pinggul, mengakui bahawa dia enggan mengenakan “kawalan berlebihan” ke atas anaknya. Dia bimbang bahawa anaknya akan “tertekan” setiap kali anak remajanya itu diberi peringatan.

Anaknya berulang kali tidak mematuhi nasihatnya dengan menyelinap keluar dari rumah pada waktu malam. Hari ini, dia duduk di sisi katil hospital menemani anaknya, menunggu untuk melihat sama ada remaja itu mampu berjalan semula.

Seorang ibu pula merayu orang ramai untuk berhenti menyalahkan ibu bapa dan mangsa. Beliau berpendapat adalah tidak wajar bagi menyalahkan ibu bapa mengabaikan anak-anak mereka.

Dia betul. Kanak-kanak ini tidak diabaikan. Mereka terlampau dimanjakan.

Terdapat banyak contoh dalam kehidupan seharian di mana ibu bapa Melayu berdegil enggan untuk mendisiplinkan anak-anak mereka.

Memaksa mereka tidur, sejak kecil lagi, jika mereka nakal. Pastikan mereka mematuhi peraturan rumah. Larang mereka keluar rumah untuk beberapa hari, dan menghalang mereka daripada bertemu rakan-rakan. Jangan beri wang saku jika perlu.

Apa lazimnya dilakukan oleh ibu bapa orang Melayu apabila ada pihak yang menegur bahawa anak-anak mereka melakukan sesuatu yang berbahaya, seperti bermain di jalan raya?

Beza kualiti dan kuantiti

Jika kanak-kanak itu terbabit dalam kemalangan, ibu bapa akan sekadar berkata, bahawa semua ini adalah suratan takdir.

Langsung mereka tidak akan menyebut mengenai keperluan mengambil langkah-langkah pencegahan, seperti memastikan anak-anak itu bermain dengan selamat di dalam kawasan taman, atau di dalam rumah.

Sesetengah masyarakat Melayu gagal membezakan antara kualiti dan kuantiti.

Keluarga besar sebenarnya adalah mimpi ngeri orang Melayu. Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) hanya penyelesaian cepat meringankan bebannan sementar mereka. Dasar tindakan afirmatif gagal menangani kemiskinan yang semakin mencengkam dalam masyarakat Melayu.

Pada zaman dahulu, keluarga besar menampung kekurangan tenaga buruh di bendang dan ladang, serta anak-anak menjalankan tanggungjawan menjaga ibu bapa yang tua.

Namun, mempunyai keluarga yang besar bukanlah sesuatu yang bijak hari ini.

Sama ada mereka tinggal di bandar, atau kampung, kanak-kanak memerlukan pendidikan bermutu, pemakanan khasiat yang seimbang, kehidupan keluarga stabil dan belaian penuh kasih sayang.

Apabila ada orang Melayu berkata bahawa mereka suka keluarga besar, ia hanya alasan untuk tidak mengamalkan perancangan keluarga.

Apabila orang Melayu meletakkan kesalahannya kepada “takdir tuhan” dia mengabaikan tanggung jawab dirinya.

Sudah tiba masanya orang Melayu memikirkan semula, dan belajar untuk menentukan hala tuju hidupnya sendiri.

 

Comments

1 Comment

Leave a Comment