Pendapat Farouk A. Peru tentang Thaqif: Mahu Syurga, Korban Anak

Pada pagi ini, saya amat hiba membaca tentang Madrasah Tahfiz al-Jauhar (MTAJ). Pengetuanya, Mohammad Afdhaluddin Ismail, dengan bongkaknya mengatakan bahawa tiada salah laku terjadi di sekolah mereka. Deklarasi ini dibuat setelah laporan bedah siasat mayat Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadafi mendapati yang dia telah mati setelah mendapat jangkitan leptospirosis. Jangkitan ini dibawa oleh kencing tikus.

Ibu Mohamed Thaqif, Puan Felda Wani Ahmad, tidak menerima laporan ini dan telah mengambil dua orang peguam untuk menguami kesnya. Sebenarnya, rata-rata di seluruh pelusuk negara pun amat terkejut dengan laporan ini, termasuklah pengarah hospital Sultan Aminah sendiri! Soalan-soalan yang perlu ditanya:

  1. Mengapakah Thaqif amatlah tertekan dalam tulisan journalnya?
  2. Mengapakah rakan-rakan Thaqif amat takut kepada warden yang dituduh memukul Thaqif?
  3. Mengapakah nama warden itu timbul jika tiada penderaan berlaku? Adakah Thaqif menipu sahaja?
  4. Mengapakah bedah siasat yang pertama tidak mendapati leptospirosis?
  5. Kes Thaqif sedang berjalan dengan laporan pertama. Mengapa dengan tiba-tiba, mayat Thaqifi digali kembali?
  6. Jika benar Thaqif mati dengan keracunan kencing tikus, mengapa sekolah tahfiz ini tidak ditutup terus?
  7. Mengapakah warden itu diambil bekerja dengan kanak-kanak walaupun mempunyai rekod jenayah?

Banyak soalan lagi yang boleh ditanya tetapi pada saya, inilah masanya ibu bapa murid-murid pelajar sekolah-sekolah agama dan tahfiz perlu bangun daripada tidur nyenyak mereka. Ramai ibu bapa mempunyai kepercayaan kolot yang mereka akan masuk syurga atau terselamat dari neraka jika anak-anak mereka menjadi agamawan atau penghafal Al-Quran.

Nasihat pada ibubapa

Kepada ibubapa-ibubapa yang mempunyai kepercayaan ini, saya ingin mengingatkan mereka tentang ajaran Al-Quran tentang tanggungjawab peribadi (personal responsibility):

  1. Pada Hari Pembalasan, tiada orang yang boleh menolong orang lain (2/48, 2/123 dan 2/254 – tiga kali diulangi dalam Surah Al-Baqarah)
  2. Nabi Muhammad sendiri tidak boleh menolong sesiapa (46/9)
  1. Yang boleh menolong kita hanyalah amalan kita semata-sama (39/70, 99/7-8)

Jadi, apabila kita diminta para agamawan untuk memasukkan anak-anak kita ke sekolah-sekolah mereka di atas alasan ia akan mendatangkan pahala atau menyelamatkan kita, ini adalah bohongan semata-mata dan bercanggah dengan ajaran Al-Quran. Apa menganalisa ayat-ayat di atas, amatlah jelas yang hanya kita sahaja boleh menyelamatkan diri dengan berbuat amalan yang baik.

Satu lagi kepercayaan karut ialah takdir di mana kita mempercayai yang semua benda buruk adalah datangnya daripada Allah. Allah memberi kita banyak pilihan dalama hidup dan juga akal untuk memilih dengan sebaik mungkin. Maka janganlah kita menuduh Tuhan jika tragedi berlaku. Kita sendiri telah membuat pilihan bijak. Takdir dalam penggunaan Al-Quran bermaksud ukuran potensi. Kita yang perlu menaktualisasikan potensi.

Pendidikan agama, khususnya penghafalan and lebih penting lagi, penghayatan Al-Quran memang penting. Tetapi, ia tidak perlu dijalankan oleh sekolah-sekolah agama atau tahfiz. Sekolah-sekolah ini diuruskan oleh agamawan-agamawan yang tiada akauntibiliti (tanggungjawab untuk melapor) kepada JAKIM ataupun Kementerian Pendidikan. Maka, mereka boleh berbuat sesuka hati sahaja. Jika benar mereka mempunyai nilai-nilai Islam, masakan boleh pengetua sekolah ini boleh melepaskan tangan begitu sahaja. Jika dia mengikut sunnah Rasulullah, dia akan menutup sekolah ini sementara mencari tikus-tikus yang membunuh Thaqif.

=============================================================================

Pandangan peribadi Farouk A Peru, Islamologist dan penulis.

Comments

Leave a Comment