Siti Kasim: Membidas Keangkuhan Harussani Zakaria


Institusi agama di Malaysia sudah begitu taksub dengan kuasa mereka. Mereka tidak boleh dipersoal, jauh lagi ditolak.

Apabila Mufti Perak, Harussani Zakaria ‘menasihati’ peguam dan aktivis, Siti Zabedah Kasim untuk mempelajari Islam, saya menggeleng kepala dan tergelak sedikit.

Siti didakwa membuat satu pernyataan tentang ketuhanan yang tidak disenangi para agamawan. Apa yang lebih lucu, Harussani mengatakan yang Siti patut menjauhi daripada membuat pernyataan kerana agama itu ‘bukan bidang’ Siti!

Inilah masalah sebenar para agamawan – keangkuhan. Pada pendapat agamawan, merekalah sahaja yang layak memberi pendapat tentang agama. Orang lain tidak mampu kerana kurang ilmu agama.

Yang menghairankan, kalau kami golongan biasa kurang ilmu, kenapa tidak adakan dialog secara terbuka? Kenapa tidak panggil golongan Melayu Syiah umpamanya dan adakan dialog yang bertajuk ‘Syiah atau Sunni – Siapa Pewaris Nabi’? Memang ‘not happening’ la!

Sebaliknya golongan Syiah dianggap sesat dan akan ditangkap. Beginilah institusi agamawan di Malaysia. Daya intelektual mereka amatlah rendah. Mereka lebih suka membenteras dan menangkap untuk melindungi periuk nasi mereka.

Seks antara suami isteri

Harussani Zakaria bukan juga asing kepada kontroversi. Dua tahun yang lalu, dia telah mengeluarkan fatwa yang menyatakan bahawa isteri-isteri mestilah memberi seks kepada suami mereka jika diminta. Mereka tiada hak untuk menolak kehendak suami. Harussani menyatakan yang ‘rogol dalam perkahwinan’ tidak wujud!

Dia menggunakan sebuah hadis yang menyatakan yang isteri sepatutnya akur kepada kehendak seks suami walaupun keduanya sedang menunggang unta. Saya amatlah kesian kepada isteri dan juga unta berkenaan.

Sebenarnya, pendapat Harussani ini terang-terang dinafikan oleh Al-Quran (Surah 30, Ayat 21) yang menggambarkan hubungan suami isteri yang penuh kedamaian.

Agamawan Malaysia diterima tanpa kritis

Hairan betul, orang yang pakar, bertauliah dan memegang jawatan tinggi macam Harussani pun tak tau yang Al-Quran telah menolak hadis palsu itu.

Tetapi inilah situasi di Malaysia. Agamawan diterima tanpa kritis dan sesiapa sahaja yang memberi pendapat yang berlainan akan ‘dinasihati’ golongan itu. Siti Kasim pula jadi sasaran Harussani. Kononnya Siti menjurus ke arah murtad. Adakah Tuhan begitu zalim hendak menyesatkan orang yang berfikir? Sila baca Surah Yunus 99-100 untuk mendapat jawapan.

Hairankah kita yang Melayu Islam tidak maju-maju sehingga sekarang?

================================================================================

Oleh FAROUK A PERU: Penulis, Islamologis, kreativis dan kolumnis tetamu, ia lah warganegara Malaysia yang berani berhadapan dengan pihak Islamofasis.

 

Komen
0Shares

Leave a Comment